Berita Harian 6hb Oktober 2008

Rai Aidilfitri bersama peserta Festival Seni Pertahanan Diri

KOREA SELATAN: Pengalaman pertama kali menyambut Aidilfitri di perantauan tidak menghalang kontinjen Silat Lincah negara menganjurkan rumah terbuka pada Festival Seni Pertahanan Diri Dunia 2008, di Chungju.

Seramai 50 jemputan terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Tertinggi Kesatuan Seni Bela Diri Dunia (WoMAU), wakil dari University of Chungju, penganjur festival dan wakil kontinjen dari negara yang menyertai festival tahun ini menghadiri rumah terbuka yang diadakan di kediaman rasmi kontinjen Silat Lincah negara.

Ketua Pesilat Lincah ke Korea Selatan, Mohamad Hairil Mohamad Tanuri, berkata ia sebahagian usaha untuk memperkenalkan budaya, warisan dan adat rakyat Malaysia menyambut Aidilfitri kepada masyarakat antarabangsa.

Beliau berkata, walaupun diadakan dalam keadaan serba kekurangan kerana sukar memperoleh bekalan makanan halal, kontinjen negara masih mampu menyediakan hidangan utama seperti rendang daging, sambal ayam, nasi himpit dan kuih raya.

“Cadangan ini timbul apabila kontinjen sampai di sini pada hari raya kedua kerana kita tidak puas menyambut Aidilfitri di tanah air dan kesempatan pertama kali menyertai festival ketika Aidilfitri tidak boleh dilepaskan,” katanya

Kontinjen negara memakai baju Melayu bagi perkenalkan budaya dan menghidangkan masakan tradisional Aidilfitri.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Agung WoMAU, Cheon Jeong Yeop dan wakil University Of Chungju, Profesor An Kyoung-Mo.

Mengulas persembahan sulung kontinjen silat lincah negara, petang kelmarin, Mohamad Hairil, berkata strategi pasukan Malaysia untuk beraksi dengan senjata tajam iaitu parang dan keris berjaya memukau 8,000 pengunjung dan media tempatan.

Katanya, ia adalah kelainan yang ditunjukkan kerana hanya pesilat lincah negara menggunakan senjata sebenar dalam pertunjukan berbanding lapan negara lain yang mengadakan persembahan pada hari sama.