Berita Harian, Selasa 7hb Oktober 2008
CHUNGJU: Kontinjen Silat Lincah negara menukar strategi semalam dengan menggunakan lebih banyak aksi serangan udara sebagai usaha menjadikan persembahan mereka lebih menarik untuk ditonton golongan muda pada Festival Seni Pertahanan Diri Dunia 2008, di sini.
Walaupun aksi pada persembahan kedua itu tidak terlalu berbahaya berbanding persembahan pertama namun mereka mendapat tepukan gemuruh penonton dan ada antara mereka yang menunggu di belakang pentas untuk bergambar dengan pesilat sebaik persembahan tamat.
Timbalan Ketua Jurulatih Kanan Negeri Sembilan, Muhammad Helmy Khalid Khairuddin, berkata pihaknya turut menerima pujian daripada kontinjen Kanada dan Ukraine yang berpuas hati pada aksi itu walaupun terlepas persembahan pembukaan kontinjen Silat Lincah negara kelmarin.
Katanya, persembahan kontinjen negara kali ini lebih baik jika dibandingkan persembahan kelmarin kerana suhu yang tidak terlalu sejuk serta masa yang lebih banyak diperuntukkan pihak penganjur membolehkan lebih banyak aksi dapat dipersembahkan.