Utusan Malaysia 24/11/2009

KUALA LUMPUR 23 Nov. – Berpakaian baju tradisional merupakan identiti yang perlu dikekalkan oleh orang Melayu di negara ini.

Pengerusi Majlis Tertinggi (MT) Silat Lincah Malaysia, Datuk Omardin Mauju berkata, tidak kira di mana berada, identiti itu perlu ditonjolkan bagi menunjukkan kepada dunia luar tentang keunikan budaya kaum itu.

“Sebagai rakyat Malaysia dan orang Melayu, kita seharusnya berbangga untuk berpakaian baju tradisional Melayu kerana ia merupakan identiti kita sendiri,” katanya kepada¬†Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas langkah Duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis berpakaian seperti pahlawan Melayu dengan berbaju Melayu dan bertanjak ketika menyerahkan watikah pelantikannya kepada Presiden AS, Barack Obama di Rumah Putih pada 4 November lalu.

Peristiwa itu menarik perhatian Obama sehinggakan Presiden AS sempat menegur dan memberitahunya yang beliau pernah melihat pakaian seperti itu sebelum ini.

Malah, Jamaluddin sempat bertutur dalam bahasa Melayu dengan Obama.

Omardin berkata, beliau berbangga melihat Jamaludin lengkap berpakaian baju Melayu semasa menyerahkan watikah pelantikannya itu.

“Ini kali kedua, dulu Tan Sri Razali Ismail memakai baju Melayu lengkap semasa menyerahkan watikah pelantikannya kepada Presiden ketika itu, George W. Bush.

“Ini merupakan satu contoh yang patut diikuti oleh wakil-wakil lain yang mewakili negara di luar negara,” katanya.

Beliau berkata, orang Melayu seharusnya berbangga dan tidak perlu malu untuk mengetengahkan budaya dan identiti bangsa sendiri.

About these ads