PSSLM Zon Perak Utara
Pentadbiran PSSLM di negeri Perak di bahagikan kepada 5 zon iaitu
1. Perak Selatan
2. Perak Tengah
3. Hulu Perak
4. Setiawan dan Manjung
5. Perak Utara.

Zon Perak Utara atau dulu dikenali sebagai Gelanggang Cawangan Taiping berpusat di Kg. Rahmat Kamunting, dibuka pada penghujung tahun 1998 dengan keahlian seramai 38 orang, dibawah tunjuk ajar Cikgu Mohd Rejap Bin Sheriff (kini Ketua Jurulatih Kanan Negeri Perak).

Gelanggang pertama bertempat di Lot 8, Kg. Rahmat sebelum dipindahkan ke alamat sekarang. Gelanggang ini dirasmikan sendiri oleh Datuk Mahaguru, sementara perasmian ahli pula dilakukan oleh Pendekar Mohd Yusof (Kini Pemangku Guru Muda PSSLM). Disamping itu, gelanggang-gelanggang lain yang pernah dibuka di kawasan Taiping adalah seperti Gelanggang PSSLM Changkat Jering, Gelanggang PSSLM Kg. Pinang, Gelanggang PSSLM Taman Mewah, Gelanggang PSSLM Taman Semarak , Gelanggang PSSLM SMK Kamunting dan juga Gelanggang PSSLM Kampung Kurnia Jaya.

Bertitik tolak dari situ, PSSLM Cawangan Taiping mula menempa nama apabila kerap menyertai pertandingan-pertandingan peringkat daerah dan negeri. Selain itu PSSLM Cawangan Taiping juga tidak ketinggalan dalam menyertai pertandingan tahunan yang dianjurkan oleh PSSLM Peringkat Pusat. Tahun 2003 pula menyaksikan PSSLM Cawangan Taiping ditukar ke Zon Perak Utara (dari Parit Buntar hingga Kuala Kangsar), sejajar dengan perubahan yang berlaku dalam pentadbiran negeri. Tahun yang sama juga menyaksikan Dr. Mohd. Sallehin Hj Abu Bakar (Poliklinik Penawar Kamunting) diangkat menjadi Presiden PSSLM Negeri Perak. Tahun 2003 juga menjadi ‘Tahun Emas’ PSSLM Zon Perak Utara apabila ramai bakat-bakat baru dilahirkan dari cawangan ini dalam pertandingan-pertandingan dan juga pentadbiran PSSLM Negeri Perak.

Langit tidak selalunya cerah, putaran roda tidak memungkinkan kita sentiasa di atas. Atas masalah-masalah tertentu, PSSLM Zon Perak Utara terpaksa ‘berehat’ seketika dari dunia persilatan pada tahun 2005 dan 2006. Dalam masa ‘rehat’ tersebut banyak perkara-perkara baru yang diperhalusi seperti struktur pentadbiran, silibus dan juga perkara lain berkaitan latihan.

Akhirnya, pada awal tahun 2007, PSSLM Zon Perak Utara sekali lagi memulakan langkah memartabatkan semula ‘Falsafah Perjuangan’ yang selalu ditekankan oleh Mahaguru dan Pengasas PSSLM Datuk Haji Omardin Bin Mauju.

Anak haruan si anak sepat
Berenang menyusur ke dalam lukah
Langkah pahlawan langkah beradat
Pantang mengundur walaupun selangkah

Kini di bawah kepimpinan baru, PSSLM Cawangan Taiping bertekad untuk terus memperjuangkan Seni Silat Lincah sebagaimana yang diamanahkan oleh Datuk Mahaguru.

Sinopsis sukatan pelajaran mengikut tahap
Kuning-kuning
Pesilat akan diajar tentang perkara asas seperti asas tumbukan dan pelebat, latihan serangan 4 penjuru, langkah lipat, asas elakan, buah ibu 1 hingga 7, pecahan buah ibu 1, asas tempur tangan kosong serta sejarah pertubuhan. Lulus ujian pesilat akan dinaikkan taraf ke Merah-Kuning

Merah-Kuning
Pesilat akan dimahirkan dengan teknik-teknik lompatan serta tempur tangan kosong. Untuk tujuan kecergasan maksimum, Senaman Jurus Lincah (Siri Senaman Asli) akan diajar kepada ahli. Pesilat juga akan diajar tentang barisan pecahan ke-2 dan ke-3 serta senjata rotan. Lulus ujian pesilat akan dinaikkan ke taraf Merah-Hitam.

Merah-Hitam
Pesilat akan diperkenalkan dengan senjata parang sebagai alat ‘melindung’ diri. Selain itu subjek silat olahraga beserta teknik pertandingan akan juga didedahkan. Barisan pecahan ke-4 dan ke-5 akan diajar pada taraf ini. Pesilat yang lulus ujian akan dinaikkan taraf ke Hitam-Hitam (serba hitam)

Hitam-Hitam (serba hitam)
Pesilat akan diperkenalkan pada senjata keris dan kapak. Pun begitu, senjata seperti parang, kapak dan keris tidak akan di ajar kepada gelanggang-gelanggang sekolah. Buah pecahan akan ditamatkan pada peringkat ini (baris ke-6 dan ke-7). Pada taraf ini juga pesilat akan dimahirkan dengan adat-adat di dalam PSSLM bagi menyediakan mereka untuk menjadi jurulatih pada masa akan datang.

(Nota: Senjata kapak hanya diajar kepada pesilat putera sahaja)

Keahlian
PSSLM menerima ahli lelaki dan perempuan yang berumur dari golongan:

a) Ahli Remaja berumur 9 tahun ke atas
b) Ahli Biasa berumur 18 tahun ke atas

Permohonan keahlian remaja hendaklah disertakan dengan kebenaran bertulis dari ibubapa/penjaga yang sah. Ahli remaja tidak boleh mengundi dan memegang jawatan di peringkat Pusat dan Negeri. Keahlian PSSLM di buka kepada semua tanpa mengira bangsa dan agama.

Taraf dalam PSSLM
Selendang Hitam bengkung hitam (mahta penuh – bengkung bersongket)
Selendang Hitam bengkung merah (mahta penuh)
Selendang Hitam bengkung kuning (mahta penuh)
Selendang Hitam bengkung hijau (mahta penuh)
Selendang Merah berlis hitam bengkung merah (mahta penuh)
Selendang Merah berlis hitam bengkung kuning (mahta penuh)
Selendang Merah berlis hitam bengkung hijau (mahta penuh)
Selendang Merah bengkung merah (mahta penuh/separuh/tiada mahta)
Selendang Merah bengkung kuning (mahta penuh/separuh/tiada mahta)
Selendang Merah bengkung hijau (mahta penuh/separuh/tiada mahta)
Selendang Kuning (jurulatih muda)
Selendang Hijau (jurulatih kanak-kanak)
Hitam-Hitam (pembantu jurulatih gelanggang)
Merah-Hitam
Merah-Kuning
Kuning-Kuning (Pelatih baru)

Lis Songkok

Hijau Hitam Hijau
Pemangku guru muda

Merah Hitam Merah
Jurulatih berselendang hitam (jurulatih peringkat tertinggi)

Merah Kuning Merah
Jurulatih berselendang merah berlis hitam (jurulatih kanan malaysia)

Merah Kuning
Jurulatih berpakaian makhta

Merah
Jurulatih berselendang merah

Hijau
Jurulatih muda dan jurulatih kanak2

Kuning
Peringkat ahli

Aktiviti dan khidmat gelanggang
▪ Kelas latihan beladiri (riadah atau pertandingan)
▪ Seminar/Kursus Beladiri Wanita
▪ Seminar/Kursus beladiri kanak-kanak
▪ Seminar Senaman Jurus Lincah
▪ Kursus buah-buah Lincah
▪ Slot pendek untuk ‘pengenalan silat’ (teori/praktikal) di dalam kursus anjuran mana-mana pihak (kerajaan / bukan kerajaan)
▪ Latihan beladiri untuk pertubuhan, badan korporat, jabatan kerajaan dan juga sekolah-sekolah
▪ Pertandingan-pertandingan di Peringkat Zon, Daerah atau Negeri. Ahli terbaik akan dihantar untuk pertandingan peringkat Kebangsaan yang diadakan setahun sekali.
▪ Persembahan silat (dengan pakej), untuk majlis rasmi atau tidak rasmi. (kenduri, pembukaan rasmi, majlis-majlis kebudayaan dsb)

Sekiranya anda berminat, sila hubungi kami.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.